Friday, September 17, 2010

Aidilfitri 1431 Hijrah.....1 Anugerah


Seingat aku sejak dari kecil, Aidil Fitri bagi keluargaku disambut secara ala kadar saja disebabkan keadaan ekonomi keluarga kami. Kalau dulu, baju raya biasanya yang adalah baju yang orang bagi atau baju raya yang tahun-tahun yang sudah lepas. Mungkin juga hamper 3 tahun sekali baru tukar baju. Malam raya pula mesti kanak-kanak akan sibuk main mercun atau bunga api kan? Tapi bagi kami adik beradik waktu itu, sekadar melihat kanak-kanak lain bermain mercun dan bunga api sahaja sudah cukup memberi kepuasan. Walaupun ketika itu kami masih kecil tapi dengan didikan mak dan ayah, kami tidak pernah merengek meminta yang bukan-bukan. Apa-apa yang mak dan ayah sediakan itulah yang kami terima.
Dan masih segara lagi dalam ingatan aku dulu sewaktu mak berkunjung ke rumah salah seorang mak saudara ayah. Kami di layan bagai orang asing, diberi air dan makanan dan dibiarkan begitu saja. Walaupun mak tak pernah kata apa-apa tapi aku tau yang mak sedih dan malu diperlakukan begitu apatah lagi di depan saudara mara orang tua tersebut. Hina sangatkah jika kita miskin? Paling aku kesali waktu itu orang tua tersebut telahpun bergelar ‘hajah’. Tidakkah dia pernah belajar bahawa Rasulullah SAW sentiasa memuliakan tetamunya. Apalah gunanya gelaran ‘hajah’ itu jika ia hanya sekadar gelaran bukan amalan. Tetapi tahun ini anaknya mengutarakan soalan “Kenapa tak datang rumah?” apabila bertemu dengan kakakku yang ingin pulang ke Selayang. Adikku beritahu kakakku memberi alas an yang dia malas nak berjalan.
Tetapi keadaannya tahun ini terlalu berbeza jika dibandingkan dengan waktu dulu. Tahun ini merupakan tahun yang paling meriah bagiku sepanjang aku hidup. Aidilfitri kali ini sungguh memberikan satu anugerah. Walupun petang raya aku berselisih faham ngan ayah, tapi aku pasti ayah sudah banyak berubah walaupun masih banyak lagi perangai buruknya yang ada. Aku doakan semoga ayah akan berubah menjadi lebih baik dari tahun ini pada tahun hadapan denag izin Allah SWT.
Pagi raya tahun ini memang menggembirakan walau kami kekurangan seorang ahli keluarga. Selepas bermaaf-maafan dan bersalam-salaman, kami sekeluarga makan bersama. Saling ketawa, saling bergurau senda. Walaupun kami tidka ke kubur kerana hujan pada pagi 1 Syawal itu, namun bukan bermakna yang kita perlu menziarahi pusara hanya pada waktu raya sahaja. Jika tidak pada 1 Syawal, ada lagi 364 hari yang lain yang kami boleh menziarahi pusara nenek kami. Insya’Allah aku akan.
Dengan perabot yang baru dan muhibbah antara ahli keluarga, kami melalui hari raya dengan perasaan yang sangat bersyukur. Raya kedua kami beraya ke rumah pak cik yang merupakan abang kepada mak yang baru memeluk Islam. Kemudian kami ke rumah tunang Farrah pula. Dan turut serta bersama kami adalah tunang aku iaitu Mohammad Shah Izwan. Sampai pukul 8 lebih barulah kami balik.
Tahun ini juga merupakan kali pertama aku menjemput semua rakan-rakan datang beraya ke rumah. Dan aku juga menyertai konvoi bersama-sama mereka ke rumah rakan-rakan lain serta guru-guru kami. Alhamdulillah, hampir-hampir nak runtuh gak rumah kami bila 20 orang rakan aku, 4 orang rakan Angah dan beberapa orang rakan Kak Iena datang hampir-hampir serentak pada raya ketiga. Memang tak menang tangan. Malamnya pula kami buat berbeku, sampai meleleh air mata aku membakar ayam.
Raya keempat pula aku ke rumah Fazirah dan rumah bakal mentuaku. Sungguh rasa sangat terharu apabila bakal mak dan ayah mentuaku menyenangi dan menerima kehadiran aku di sisi anak mereka. Setakat ini dengan adik berdiknya juga aku dapat menyesuaikan diri. Cuma masih ada beberapa orang lagi akak-akak dan abangnya yang belum berkesempatan lagi untuk bertemu. Insya’Allah, masanya akan tiba. Malamnya pula keluarga pak cik aku dan abang iparnya datang. Oh ya, pak cik aku telah selamat bernikah pada bulan Mei yang lau.
Dan petang semalam Nieza dan teman rapatnya Rafi datang beraya sebelum aku bertolak balik ke UUM. Alhamdulillah aku telah selamat sampai pagi tadi. Kemungkinan aku akan sambung ziarah rumah kenalan aku di sini pula.
Ya Allah, betapa aku sangat bersyukur kerna Engkau telah menganugerahkan Syawal yang sangat bermakna buatku serta keluargaku. Semoga Engkau akan memberikan lebih lagi kemeriahan dan kebahagiaan kepada keluargaku sentiasa, amin ya rabbal alamin…